Pertanian Menjana Ekonomi
ektor ekonomi penduduk setempat dijana melalui sektor kerajaan, swasta, perniagaan, bekerja sendiri, perkilangan, pertanian dan lain-lain. Statistik pada tahun 2005 menunjukkan penduduk tempatan berkhidmat dalam sektor awam hanya sebanyak empat peratus berbanding perkhidmatan dalam sektor swasta mencatatkan sepuluh peratus. Bagi sektor pertanian, perniagaan dan perkilangan, masing-masing mencatatkan sebanyak 14 peratus, 11 peratus dan tujuh peratus. Bagi penduduk yang bekerja sendiri mencatatkan anggaran sebanyak 18 peratus dan selebihnya iaitu lebih kurang 40 peratus adalah penduduk yang menjalankan aktiviti-aktiviti seperti perladangan, perindustrian, perlancongan dan sebagainya.
Dari sudut pertanian, sebahagian besar daripada tanah kampung digunakan untuk tujuan pertanian dusun buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, pisang dan cempedak. Selain itu, terdapat juga pertanian sampingan seperti menanam sayur-sayuran secara kecil-kecilan untuk dipasarkan kepada penduduk kampung. Di antara sayur-sayuran yang ditanam adalah seperti cili, terung dan kacang panjang. Sektor pertanian ini lebih dimonopoli oleh golongan tua di kampung.
Anak-anak muda dan golongan belia pula lebih terdedah dalam menceburi sektor perkhidmatan awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Bangi. Namun begitu, mereka tetap memilih untuk tinggal di kampung ini memandangkan perjalanan untuk ke tempat kerja hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit.
| " Bagi sektor pertanian, perniagaan dan perkilangan, masing-masing mencatatkan sebanyak 14 peratus, 11 peratus dan tujuh peratus" |
|
| |
|
Selain itu, sebahagian penduduk setempat berusaha mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti perniagaan seperti membuka bengkel motosikal, kedai runcit dan juga warung-warung makanan di Pekan Batu 18, Hulu Langat. Terdapat sebuah restoran nasi ambang yang popular di sini. Nasi ambang merupakan juadah turun temurun masyarakat Jawa yang sungguh istimewa dan menyelerakan.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut menyumbang dalam menjana pendapatan penduduk kampung. Industri perusahaan baulu dan juga sambal pechal merupakan antara perusahaan yang dijalankan oleh kaum hawa di sini. Pembabitan yang serius di kalangan kaum wanita dalam sektor ini membantu meringankan beban keluarga. Memperoleh bantuan daripada pihak berwajib sememangnya membantu meningkatkan perusahaan yang dibangunkan oleh orang kampung. Bantuan dari segi kemahiran, latihan, barangan dan juga pinjaman wang sedikit sebanyak membantu sektor perusahaan kampung berkembang dengan jayanya.
|