Muzik Jidor Yang Mempersonakan
ebanyakan belia di kampung ini bekerja di dalam sektor awam dan juga swasta. Mereka lebih menggemari untuk menceburi bidang tersebut memandangkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki bersesuaian dengan mereka. Selain itu, belia di sini juga aktif menyertai kegiatan sukan dan kebudayaan di kampung ini. Dari sudut kebudayaan, permainan alat muzik Jidor merupakan budaya yang telah diwarisi daripada beberapa generasi. Alunan muzik Jidor masih tetap menambat hati warga penduduk dan merupakan suatu kemestian di majlis kenduri kendera di sini. Pasukan Jidor Kampung Jawa yang disertai oleh golongan belia sering menerima jemputan dari pelbagai pihak untuk membuat persembahan di dalam apa jua majlis rasmi atau tidak rasmi. Alunan muzik kompang juga tidak ketinggalan dan masih mendapat permintaan penduduk setempat.
Jika terdapat sebarang majlis kenduri kahwin, belia di sini akan sama-sama bergotong royong menjayakan majlis tersebut atau lebih dikenali dengan nama “rewang”. Rewang merupakan aktiviti membantu membuat persiapan sebelum dan semasa kenduri atau majlis dijalankan. Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah seperti membasuh daging, melapah daging dan juga membasuh pinggan bagi membantu meringankan beban tuan rumah. Kerja-kerja ini dijalankan secara gotong royong sesama golongan belia.
Belia juga aktif dalam aktiviti lasak dan mencabar seperti mendaki Gunung Nuang yang berdekatan dengan Kampung Jawa. Kelab Rekreasi dan Pencinta Alam yang dimonopoli oleh golongan belia sering menjalankan aktiviti berakit dan mendaki gunung. Aktiviti yang dijalankan bukan hanya terhad kepada penduduk kampung tetapi ia juga terbuka kepada belia kampung sekitar yang berminat. Pembabitan yang amat menggalakkan seperti ini pastinya membantu mengeratkan hubungan sesama mereka.
Melalui gerakan Belia 4B yang aktif, golongan belia di sini sering menganjurkan aktiviti pertandingan bola sepak tujuh sebelah dengan belia sekitar. Pertandingan terbaru dianjurkan oleh gerakan belia pada tahun 2007 berjaya merapatkan jurang perhubungan di antara belia dan berjaya menarik minat golongan belia berumur di antara 15 hingga 45 tahun.
|