Buah-buahan dan sayur-sayuran Menggantikan Tanaman Getah
ndustri pertanian di Kampung Jawa dahulunya tertumpu kepada penanaman getah sebagai salah satu punca pendapatan. Namun kini, tanaman getah sudah semakin berkurangan kerana golongan muda tidak begitu berminat untuk menjadi penoreh getah. Oleh itu, segelintir penduduk tempatan masih lagi mencari sumber rezeki melalui perusahaan dusun buah-buahan bermusim seperti durian, cempedak dan manggis. Kebanyakan mereka memiliki dusun sendiri dan menjual hasil tani kepada penduduk-penduduk sekitar. Penanaman pisang di kawasan kampung juga turut membantu meningkatkan pendapatan penduduk-penduduk Kampung Jawa. Di sekitar jalan, terdapat ramai peniaga pisang goreng yang berniaga secara kecil-kecilan lebih-lebih lagi pada hujung mingu kerana ramai yang datang bersantai di Sungai Congkak.
Selaras dengan Kempen Bumi Hijau yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2007, penduduk Kampung Jawa giat menanam sayur-sayuran seperti cili, kacang dan terung di kawasan penempatan. Meskipun dijalankan dalam skala yang kecil, namun aktiviti pertanian ini mampu menjana pendapatan seisi keluarga di kampung ini.
|