Jalinan hubungan mesra

Jalinan Hubungan Yang Erat

P

enduduk di Kerdau menjalinkan hubungan yang erat dengan penduduk sekitar. Mereka mengamalkan sikap toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sikap sebeginilah yang harus dipraktikkan dan dicontohi oleh orang-orang luar yang datang ke kampung-kampung ini. Antara kampung-kampung yang terdapat di situ ialah Kampung Huma Luas, Kampung Paya Taram, Kampung Ketapi, Kampung Sri Ketumbit, Kampung Tanjung Perah, Kampung Ketam dan Kampung Guntung Kelibang.

 
 
Laluan utama ke Kampung Huma Luas, salah sebuah kampung yang berhampiran

Kampung-kampung di sini juga mengamalkan aktiviti ekonomi yang hampir sama. Mereka menjalankan aktiviti pertanian, penternakan dan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan keluarga mereka. Penduduk-penduduk sekitar dan penduduk Kerdau sering juga mengadakan aktiviti bersama-sama dalam mengeratkan lagi hubungan silatulrahim sesama mereka. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sambutan Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan beberapa perayaan lain. Para belia di situ sering juga menjalankan aktiviti bersama seperti mengadakan acara sukan seperti pertandingan bola sepak, badminton dan takraw. Belia wanita juga tidak kurang hebatnya. Mereka sering menang apabila menyertai pertandingan bola jaring.

Selain itu, hubungan silatulrahim mereka diperkukuhkan lagi dengan penglibatan di dalam aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri doa selamat, pertunangan, perkahwinan, kematian dan lain-lain lagi. Mereka akan bersama-sama menjalankan aktiviti gotong-royong dalam majlis tersebut. Ini secara tidak langsung membuka ruang interaksi di antara satu sama lain. Tidak hairanlah penduduk di sini kelihatan mesra dan saling bantu-membantu dalam menyelesaikan tugas kemasyarakatan. Senario sebegini pasti menggamit hati mereka yang tidak pernah merasainya.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK