Kerdau diberi nama sempena nama pokok Kerdau yang tumbuh melata di kawasan ini. Pembangunannya seiring dengan pemodenan desa-desa yang lain. Apa yang menariknya di Kerdau kerana terdapatnya pusat penternakan lintah yang terbesar di Malaysia. Sebanyak 24 kolam dibina di atas tanah persendirian dengan setiap satunya mempunyai sebanyak 500 ekor lintah. Dari segi pelancongannya juga lain daripada yang lain kerana terdapatnya Program Inap Desa yang diusahakan oleh penduduk setempat. Selain memberikan  kemudahan tempat tinggal berharga sederhana, Program Inap Desa  dapat memberikan pengalaman berharga kepada pelancong mengenai kehidupan masyarakat Malaysia yang dipenuhi adat dan budaya silam.


Pelancongan Penternakan

Program Inap Desa Murni boleh memperkenalkan cara masyarakat hidup Melayu kepada masyarakat luar. Homestay Desa Murni yang diusahakan oleh Shahariman Hamdan telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1995. Beliau mendapat ilham menjalankan projek itu ketika beliau berada di Jepun dan merasai sendiri pengalaman serta budaya hidup masyarakat di sana. Program Inap Desa adalah satu bentuk kemudahan tempat penginapan di mana pelancong dapat tinggal bersama keluarga tuan rumah yang dipilih. Pelancong ini akan dapat mengalami sendiri cara hidup dan kebudayaan masyarakat Malaysia secara tidak langsung.

Penternakan lintah yang diusahakan oleh Lucrative Agrobase Event menjanjikan pendapatan yang lumayan kerana permintaan yang semakin tinggi terhadap produk-produk berasaskan lintah. Kolam lintah di sini merupakan kolam yang terbesar di Malaysia. Kolam ini diusahakan menggunakan modal sendiri sebanyak RM200,000. Terdapat 24 buah kolam dibina di sini di mana setiap satunya mempunyai 500 ekor lintah. Lintah ini diternak di dalam kanvas dan diberi makan belut juga daun keladi bunting.
 
 
Penafian | Laman Web KTAK