Membina Masyarakat Jaya

K

ampung Jimah Baru ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). JKKK ditubuhkan sebagai satu mekanisme untuk merapatkan perpaduan antara kaum dan penduduk. Melalui JKKK, maklumat–maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada penduduk setempat. JKKK juga berperanan mengatur projek-projek kecil yang memberikan faedah kepada masyarakat kampung seperti gotong-royong, sukan dan lain-lain.

JKKK diselenggara oleh pengerusi JKKK iaitu Tuan Haji Musa Ishak. Beliau telah berkhidmat sebagai pengerusi JKKK Kampung Jimah Baru sejak tahun 2000 lagi. Di bawah pentadbiran beliau terdapat pelbagai biro diwujudkan bagi memantapkan lagi organisasi JKKK. Antaranya Biro Keselamatan Kampung, Pembangunan dan Pentadbiran, Biro Pertanian dan Penternakan, Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keindahan Kampung, Biro Belia dan Sukan, Biro Ekonomi dan Industri Kecil, Biro Kegiatan Wanita dan Tugas Am dan Biro Agama dan Pendidikan. Sejak sekian lama JKKK telah berperanan dan mencapai objektifnya untuk memajukan kampung sejajar dengan pembangunan Negeri Sembilan.

Sehingga kini program-program yang dikendalikan oleh JKKK telah berjaya meningkatkan modal insan penduduk. Contohnya, JKKK bersama penduduk kampung yang terpilih menyertai lawatan sambil belajar dan menghadiri bengkel sehari mengenai Pusat E-Komuniti di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tahun 2001. Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) ini bermatlamat memilih Kampung Jimah Baru sebagai sebuah pusat E-Komuniti pada satu hari nanti.

Anugerah

Kampung Jimah Baru telah memenangi pelbagai anugerah berkat kerjasama antara JKKK dan penduduk Kampung Jimah Baru. Pada Tahun 1989, Kampung Jimah Baru telah meraih Johan Pertandingan Kampung Terindah Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri Sembilan. Manakala pada tahun 1990 pula, Kampung Jimah Baru telah menerima Anugerah Bakti Cemerlang daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca terbaik di Peringkat Kebangsaan.

Kampung Jimah Baru pernah menjadi Johan Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung peringkat Daerah Negeri Sembilan sebanyak tiga kali. Pada tahun 1995 pula, Kampung Jimah Baru telah mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Masjid Terbaik Peringkat Daerah. Pencapaian yang terkini dan menjadi kebanggaan penduduk kampung ialah apabila Kampung Jimah Baru menjadi Johan Pertandingan Desa Cemerlang Peringkat Daerah.

"Anugerah-anugerah yang dicapai oleh Kampung Jimah Baru secara tidak langsung telah mempromosikan kampung ini sebagai salah satu tempat menarik di Negeri Sembilan."

 
   
 
 
Pengerusi Jawatankuasa, Tuan Haji Musa Ishak

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK