Dipenuhi Flora Dan Fauna

 
 
Kampung Kahang terletak dalam kawasan Parlimen Sembrong.
T

erletak di antara jalan ke Kluang-Mersing, Kampung Sri Lukut atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat dengan nama Kampung Kahang Batu 28, merupakan sebuah kawasan pedalaman di Negeri Johor. Bagi pengunjung yang ingin bercuti ke Taman Negara Endau Rompin, anda pastinya akan melalui Kahang Batu 28 terlebih dahulu. Sekiranya ingin merasai suasana kampung yang aman dan sentosa, anda bolehlah singgah ke sini kerana Kampung Kahang Batu 28 merupakan sebuah perkampungan Melayu Tradisional yang masih lagi wujud di Negeri Johor Darul Takzim.

Kampung Kahang Batu 28 terletak di dalam Daerah Kluang dan berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kluang. Sungguhpun terletak nun jauh di kawasan pedalaman, pelbagai kemajuan dan pembaharuan berjaya dilaksanakan oleh kerajaan tempatan. Sebahagian besar tanah di Kampung Kahang Batu 28 diusahakan untuk kegiatan pertanian.

Bandar Kluang yang terletak sejauh kira-kira 40 kilometer dari Kampung Kahang Batu 28 menyukarkan penduduk setempat untuk menguruskan urusan harian. Oleh demikian, sebuah pekan kecil iaitu Pekan Kahang telah diwujudkan bagi memudahkan penduduk kampung dan kawasan sekitar menguruskan urusan harian. Jarak pekan Kahang dari Kampung Kahang Batu 28 hanya memakan masa lima minit perjalanan menaiki kereta.

“Pekan Kahang memudahkan penduduk menguruskan urusan harian”

 
   

Bagi pengunjung yang datang dari arah Kluang, anda akan melalui jalan berliku yang dikelilingi hutan tebal dan pohon-pohon kelapa sawit sebelum sampai ke Kampung Kahang Batu 28. Namun, segala kejerihan dan kesukaran sewaktu perjalanan seolah-olah lenyap apabila anda menjejakkan kaki di Kampung Kahang Batu 28. Keindahan sawah padi yang terbentang luas di sepanjang jalan membuatkan anda terpaku seketika. Masakan tidak, siapa sangka di Negeri Johor masih ada sawah padi yang luas terbentang.

Jika dahulu jalan di sini masih bertanah merah, kini keadaan itu telah berubah sama sekali. Hampir semua jalan berturap dan dilengkapi dengan kemudahan lampu isyarat serta papan tanda untuk kemudahan penduduk kampung. Kedudukan Kampung Kahang Batu 28 yang dikelilingi hutan tebal turut mempengaruhi keadaan ekosistem di sini. Bagi pelancong dan pengunjung yang ingin menikmati keindahan flora dan fauna yang menghijau atau bertujuan untuk membuat penyelidikan, kawasan hutan simpan ini menyimpan pelbagai khazanah alam ciptaan Tuhan yang unik untuk diterokai oleh manusia.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK