Tok Jeram Pengasas Kampung Jeram
emahaman masyarakat terhadap istilah ‘jeram’ sering dikaitkan dengan sungai atau tali air yang menjadi sumber air kepada masyarakat atau penduduk kampung. Namun begitu, terdapat pelbagai versi atau penceritaan mengenai asal-usul nama Kampung Jeram. Kampung Jeram merupakan salah satu perkampungan tertua yang terdapat di Selangor iaitu sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzzafar Shah sekitar tahun 1870. Dahulunya, perkampungan ini terletak betul-betul di persisiran pantai namun akibat daripada hakisan, penempatan semula telah dilakukan ke kawasan tengah kampung.
 |
|
| Tangga yang dipercayai menuju ke kubu komunis |
|
|
Asal usul nama Kampung Jeram ini bersempena dengan nama pengasas kampung ini yang membuka kawasan ini yang dikenali dengan panggilan “Tok Jeram”. Beliau dikatakan berasal dari Sabak Bernam dan melarikan diri ke sini sewaktu peperangan Bugis sedikit masa dahulu. Oleh sebab kawasan ini masih belum didiami oleh sesiapa, beliau telah mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarganya di sini dan membuka penempatan baru. Beliau memulakan aktiviti bercucuk tanam dan bertani di sini dan lama-kelamaan penduduk semakin bertambah kerana struktur tanahnya yang sesuai untuk pertanian. Penempatan tersebut semakin bertambah dan oleh sebab mengenang jasa beliau sebagai pengasas kampung, penduduk telah sepakat menamakan kawasan ini sebagai Mukim Jeram.
Terdapat juga kisah asal usul nama Jeram yang dikatakan berasal daripada sebatang pokok selebar 20 pemeluk dan setinggi lebih kurang 1.6 meter. Pucuknya tinggi hingga ke hujung laut, sayup-sayup mata memandang. Pokok ini dikatakan dijaga oleh makhluk halus yang menghuni kawasan tersebut. Pada suatu malam, seorang penduduk bermimpi bahawa penjaga pokok itu memohon supaya pokok tersebut ditebang sebelum waktu fajar. Setelah sedar dari lena, beliau telah mengarahkan tujuh orang penebang yang terdiri daripada beberapa pawang yang berasal dari Indonesia. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menebang pokok tersebut tetapi tidak berhasil. Akibat daripada peristiwa itu, kampung ini telah menerima sumpahan selama tujuh keturunan. Akibatnya, kawasan tersebut menjadi mundur tanpa sebarang kemajuan. Mengenangkan kisah misteri yang terjadi di sebalik pokok jeram itu, kawasan tersebut dikenali dengan nama Mukim Jeram.
Bukit Jeram juga dikatakan pernah menjadi kubu pertahanan tentera Jepun semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942. Kawasan bukit yang strategik di persisiran pantai menjadikan ia sebagai salah satu kubu pertahanan tentera Jepun yang kuat pada ketika itu.
Perubahan ketara dapat dilihat dari dahulu sehingga kini di Kampung Jeram. Dahulu, masyarakatnya kebanyakan bekerja sebagai nelayan dan tinggal di persisiran pantai. Namun kini, akibat daripada hakisan laut, penduduk telah berpindah ke tengah kawasan kampung dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk menyara kehidupan. Di antaranya adalah bertani, berniaga dan bekerja di sektor perkhidmatan awam dan swasta. Namun, masih terdapat penduduk tempatan meneruskan cara hidup yang diwarisi oleh nenek moyang mereka dengan menjadi nelayan.
|