Tarian Poco-Poco Pilihan Wanita PPR
egiatan wanita di kawasan Jelatek adalah di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh kaum hawa di sini seperti kelas masakan, kelas menjahit, kelas Fardu Ain dan tarian poco-poco.
Kelas masakan adalah di bawah bimbingan guru-guru KEMAS yang dilantik. Pelbagai jenis juadah masakan boleh dipelajari oleh kaum wanita di sini. Seramai lebih kurang 20 hingga 30 orang penduduk akan turut sama menyertai kelas masakan ini. Kelas masakan ini adalah pada hari Isnin dan Rabu dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Kebiasaannya aktiviti masakan ini akan dijalankan di Dewan Serbaguna.
KEMAS juga turut menganjurkan kelas menjahit bagi kaum wanita yang berminat. Kelas ini bermula pada jam 3.00 hingga 5.00 petang setiap minggu. Seperti biasa, guru dari KEMAS memberi tunjuk ajar kepada kaum wanita di sini untuk menjahit pelbagai jenis baju serta jahitan bantal, kusyen dan sebagainya.
| |
 |
| |
| Senario biasa di waktu pagi |
|
Kelas Fardu Ain pula akan diadakan setiap dua minggu sekali di Surau At Taqwa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek. Kelas ini membantu golongan wanita untuk menambahkan ilmu keagamaan daripada tenaga pengajar jemputan. Selain itu, mereka juga dapat berjumpa dan mengeratkan hubungan sesama wanita di PPR Jelatek. Kelas ini diadakan pada setiap hari Isnin dan Jumaat dari jam 3.00 hingga 4.30 petang.
Kegiatan tarian poco-poco yang baru di perkenalkan di kawasan Jelatek ini adalah di bawah persatuan penduduk dengan kerjasama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL). Aktiviti tarian ini akan diadakan di Dewan Serbaguna di bawah tunjuk ajar tenaga pengajar DBKL sendiri. Semestinya aktiviti sihat ini menjadi pilihan kaum wanita di sini.
Ada juga segelintir wanita yang berniaga di warung makan dengan menjual nasi lemak dan pelbagai jenis kuih di kawasan PPR Jelatek. Kepakaran yang dimiliki dalam bidang masakan menyebabkan mereka cenderung untuk berniaga makanan. Gerai-gerai ini sentiasa dikunjungi oleh masyarakat setempat dan juga pengunjung yang melalui kawasan Jelatek. |