Projek Perumahan Rakyat (PPR)
opulasi penduduk yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek dianggarkan seramai 1,900 orang. Ini merangkumi pelbagai peringkat umur dari lingkungan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga tua. Keharmonian yang terdapat di sini membuatkan kawasan Jelatek antara penempatan masyarakat yang popular di Kuala Lumpur.
Kaum terbesar yang tinggal di kawasan ini adalah kaum Melayu iaitu sebanyak 92 peratus manakala kaum India sebanyak tujuh peratus. Kaum Cina dan lain-lain kaum seperti Jawa serta suku kaum dari Sabah dan Sarawak mencatatkan sebanyak satu peratus. Ini adalah perangkaan yang dibuat oleh Persatuan Penduduk PPR Jelatek pada tahun 2007. Walaupun majoriti penduduk di sini adalah Melayu namun semangat kejiranan di antara kaum adalah tinggi dan sikap bekerjasama merupakan agenda utama masyarakat di sini.
Petempatan di kawasan ini adalah secara berpusat dan terancang kerana ini adalah projek PPR yang dilancarkan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL). Oleh kerana kepesatan arus pembangunan di Kuala Lumpur semakin membangun, DBKL mengambil inisiatif untuk mewujudkan pangsapuri ini supaya membantu golongan sederhana yang berkeluarga.
Kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan dewasa serta warga tua. Kebanyakan mereka sudah berkeluarga. Penduduk di sini sentiasa berpandangan jauh ke hadapan untuk sama-sama menjaga kawasan perumahan yang menjadi tempat perlindungan mereka sejak lebih sedekad lalu.
|