KLCC Tarikan Pelancong Asing
usat tarikan pelancong yang terkenal di sini adalah Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang telah dibuka sekitar tahun 1996. KLCC merupakan antara ilham pembangunan moden oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad. Menara Berkembar Petronas mempunyai 88 tingkat dengan ketinggian 451.9 meter dari aras laut. Pihak berkuasa ketinggian bangunan telah mengisytiharkan bangunan tersebut sebagai bangunan tertinggi di dunia dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia sehingga kini.
KLCC terletak hanya tiga kilometer sahaja dari kawasan perumahan Jelatek. Tidak mustahil pengunjung yang datang ke sana, singgah untuk makan di gerai-gerai yang terdapat di sekitar kawasan perumahan ini. Kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara amat menggalakkan di sini. Selain menikmati keindahan panorama KLCC, mereka juga gemar membeli belah di kompleks membeli belah terkemuka Malaysia iaitu Suria KLCC yang menawarkan pelbagai barangan untuk kegunaan semua. Terdapat lot-lot kedai yang banyak dan tempat makan eksklusif disediakan dengan pelbagai juadah yang memenuhi selera semua.
Sektor pelancongan ini juga sedikit sebanyak membantu ekonomi penduduk di sini. Dengan adanya peluang pekerjaan yang meluas ditawarkan di sana, penduduk juga menikmati keuntungan daripada hasil jualan masing-masing. Sebagai contoh, penjualan barangan kraf tangan untuk pelancong dari luar seperti rantai kunci, baju dan juga cenderahati lain. Selain itu, gerai-gerai makan yang dibuka berhampiran dengan pusat pelancongan ini sering kali menerima kunjungan ramai terutamanya pada hujung minggu.
Terdapat pelbagai kemudahan awam yang boleh didapati di kawasan pelancongan ini. Selain kemudahan meletak kenderaan yang banyak, terdapat masjid, taman rekreasi dan kolam mandi-manda untuk kanak-kanak. Setiap perkhidmatan yang disediakan dikenakan bayaran berpatutan untuk menampung kos penyelenggaraan daripada pihak bertanggungjawab. Pusat pelancongan yang strategik di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur ini pastinya menjadi lokasi utama pelancong ke negara ini. |