elia di kawasan perumahan Jelatek aktif di dalam pelbagai aspek seperti sukan, kebudayaan dan keusahawanan. Terdapat beberapa pertubuhan yang bergiat aktif seperti Belia 4B dan Persatuan Anak Seni Jelatek. Belia 4B lebih terdedah kepada aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan seperti gotong-royong ketika hari keluarga atau majlis-majlis keraian dan majlis rasmi.
Persatuan Anak Seni Jelatek pula merupakan kumpulan tarian dan dikir barat yang terdiri daripada campuran belia dan kanak-kanak. Persembahan yang dijalankan bergantung kepada program-program yang melibatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun aktiviti persatuan penduduk sendiri. Kadar bayaran adalah bergantung kepada keperluan perbelanjaan yang diperlukan. Kumpulan ini dibimbing oleh Ketua Biro Kebudayaan persatuan penduduk setempat iaitu Rohani Abdullah.
Selain itu, terdapat juga kumpulan kompang di kawasan Jelatek. Kebiasaannya kumpulan ini akan mengadakan persembahan kompang jika mendapat undangan ke majlis perkahwinan, majlis rasmi dan sebagainya. Pasukan kompang ini terdiri daripada golongan lelaki dan wanita. Setiap perkhidmatan akan dikenakan bayaran berpatutan bergantung kepada majlis yang diadakan. Pasukan kompang ini juga giat berlatih untuk memantapkan persembahan mereka dari masa ke masa.
Belia di sini lebih cenderung untuk aktif dalam sukan bola sepak dan futsal. Kedua-dua sukan ini memang menjadi kegilaan belia di kawasan Jelatek. Pasukan bola sepak terdiri daripada anak muda yang berumur 18 tahun hinggalah golongan dewasa. Kebiasaannya mereka akan berlatih di padang bola kawasan sekitar pada setiap Sabtu dan Ahad. Bagi mereka yang gemar bermain futsal, gelanggang futsal terdekat adalah di Ampang. Di situlah mereka akan sama-sama berkumpul ketika waktu lapang untuk mengeluarkan peluh dan merapatkan hubungan sesama mereka.
Belia di kawasan ini juga menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Jelatek dan Keramat. Penglibatan belia dalam bidang perniagaan merupakan suatu usaha murni untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan. Melalui kegiatan ini, mereka dapat berkongsi pengalaman dan juga kepakaran yang diwarisi daripada generasi terdahulu. |