Hasil Kelapa Sawit

P

erladangan kelapa sawit menjadi sumber pendapatan utama penduduk Kampung Haji Kamisan. Justeru, tidak hairanlah pemandangan di kiri dan kanan jalan dipenuhi pokok-pokok kelapa sawit. Ada yang sudah masak ranum menanti masa untuk dikait dan ada juga anak-anak pokok yang baru ditanam.

 
Seorang pekerja kebun menunjukkan hasil kacang panjang
 

Buah kelapa sawit yang sudah masak, akan dikait dan dikumpulkan sebelum diangkut menggunakan lori ke kilang-kilang pemprosesan atau pusat pengumpulan berhampiran. Menurut Hairy Malik, salah seorang pekerja di Ladang Chaah, beliau bekerja seawal 7.00 pagi untuk mengait dan mengumpulkan buah kelapa sawit yang sudah masak. Pendapatan yang diperoleh bergantung pada jumlah buah kelapa sawit yang berjaya dikaitnya.

Seorang penduduk Kampung Haji Kamisan giat mengusahakan tanaman kontan seperti pisang, ubi kayu, ubi keledek dan sayur-sayuran seperti kacang panjang, tomato dan sebagainya. Sudah tiga tahun Jubri Leman mengusahakan kebun miliknya. Kini beliau boleh menarik nafas lega dengan pendapatan yang diperoleh hasil keringatnya.

Kebun yang seluas lebih daripada enam hektar ini terletak di beberapa bahagian di dalam kampung. Sebagai petani yang baru tiga tahun berjinak-jinak dalam bidang pertanian, hasil tanamannya boleh dibanggakan. Hasil tanaman kacang panjang sahaja boleh mencecah pendapatan sehingga RM1,000 sehari.

 
Jubri Leman telah tiga tahun mengusahakan tanaman kontan
 

Beliau menghadiri pelbagai kursus bagi memantapkan lagi pengetahuannya dalam bidang pertanian. Antaranya kursus pembuatan baja dan khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian Daerah Segamat. Beliau turut mendapat bantuan berbentuk jentera pelbagai guna dan subsidi baja. Pada awal pembabitannya beliau hanya mengusahakan tanaman miliknya bersama tiga orang pekerjanya. Kini seramai tujuh orang pekerja telah membantu beliau di kebunnya.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK