Menjadi Tarikan Pelancong

Destinasi Beriadah

Kolam Air Panas

T

erdapat sebuah kolam air panas yang terkenal iaitu Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis. Kolam ini terletak kira-kira empat kilometer dari Felda Tenang di bawah pengurusan Daerah Labis. Ia telah dirasmikan oleh YB Tun Dr. Ling Liong Sik pada 26 Oktober 1996. Kolam air panas ini terkenal kerana airnya berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kulit seperti gatal-gatal, kudis dan pelbagai jenis penyakit otot.

 
Suasana di Kolam Air Panas
 

Antara bahan yang terkandung di dalam kolam air panas semula jadi ini ialah kalium, sodium, klorida sulfat dan fosfat. Setiap bahan-bahan ini mempunyai khasiat-khasiatnya yang tersendiri seperti membantu melancarkan perjalanan darah. Jika dahulu tiada prasarana disediakan untuk para pengunjung, kini di bawah pentadbiran Majlis Daerah Labis, kawasan kolam telah diubah suai menjadi tempat beristi rahat yang lebih sempurna dan selesa.

Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di sini ialah tempat meletak kenderaan, surau, pondok rehat dan juga bilik persalinan. Terdapat juga kawasan untuk aktiviti senaman ringan dan taman permainan untuk kanak-kanak. Kolam air panas ini dibuka setiap hari bermula pukul 2.00 petang hingga 7.00 petang manakala pada hari cuti umum, ia dibuka seawal pukul 9.00 pagi. Bayaran masuk bagi orang dewasa sebanyak RM1.00 dan kanak-kanak hanya RM0.50 sen.

Hutan Lipur Taka Melor

 
 
Air terjun Taka Melor

Hutan Lipur Taka Melor terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Labis. Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu menggunakan Jalan Labis-Tenang. Perasaan teruja pasti menyelubungi diri tatkala melihat keindahan alam semula jadi dan bunyi unggas yang seakan-akan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

Di dalam hutan simpan ini terdapat sebuah kawasan air terjun yang masih terpelihara. Kejernihan air terjun ini sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Tiada bayaran dikenakan untuk sebarang aktiviti di kawasan air terjun ini. Pelbagai kemudahan turut disediakan untuk keselesaan pengunjung seperti bilik persalinan, pondok rehat dan tempat meletak kenderaan.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK