Penyambung Pembangunan Negara
elbagai inisiatif kerajaan dan agensi-agensinya dirancang bagi melahirkan belia yang berketerampilan dan berwawasan. Di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) FELDA Tenang, pelbagai aktiviti dirangka serta persatuan ditubuhkan untuk para belia di tanah rancangan ini. Antara persatuan yang aktif ialah Kumpulan Nasyid Farhan. Kumpulan nasyid ini ditubuhkan pada bulan Mei 2002 dan diasaskan oleh Khairil Anuar Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih nasyid.
 |
|
| Belia tempatan aktif dalam persatuan kompang. |
|
|
Kumpulan Nasyid Farhan juga terbahagi kepada dua buah kumpulan–kumpulan Farhan Junior dan Farhan Senior. Farhan Junior dianggotai golongan kanak-kanak dan remaja manakala Farhan Senior dianggotai golongan dewasa. Kumpulan nasyid Farhan juga telah menyandang pelbagai kemenangan. Antaranya adalah Johan Kumpulan Nasyid di Festival Marhaban dan Nasyid 2007 Peringkat Daerah Segamat dan Johan Nasyid Sempena Karnival Seni Pendidikan Pencegahan Dadah Sekolah-Sekolah Menengah 2007 Peringkat Daerah Segamat.
Selain itu, belia di sini turut aktif dalam Persatuan Kompang dengan melakukan latihan di Balai Persatuan Belia Bestari yang terletak berhampiran gelanggang permainan gasing. Persatuan Kompang Felda Tenang turut dianggotai oleh orang dewasa yang aktif membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan, majlis keraian, majlis formal dan sebagainya. Pendek kata, majoriti belia di Felda Tenang gemar menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.
|