Merencana Program Wanita
ebanyakan golongan wanita bertungkus-lumus melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menampung pendapatan suami masing-masing untuk memantapkan lagi perbelanjaan keluarga. Pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat dan ekonomi setempat, maka JKKR merancang aktiviti yang khusus melibatkan wanita di Felda Palong Timur.
Bagi memastikan aktiviti wanita sentiasa bergerak aktif, beberapa program diwujudkan tidak kira program kemasyarakatan dan keagamaan. Aktiviti yang dianjurkan oleh Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) memainkan peranan penting dalam menggerakkan segala aktiviti yang disusun. Aktiviti-aktiviti yang kerap diadakan seperti tafsir Al-Quran dan marhaban, kelas Fardu Ain dan bacaan Yasin. Penyertaan itu bukan sahaja disertai oleh wanita sahaja malah turut mendapat sambutan dari kalangan remaja perempuan.
Selain itu, terdapat juga sebahagian kaum wanita bergiat aktif dalam bidang perniagaan. Mereka mengusahakan pembuatan kuih tradisional seperti baulu, kuih bangkit dan sebagainya. Kuih-kuih ini sering mendapat tempahan dan permintaan dari penduduk Felda Palong Timur. Selain program keagamaan dan perniagaan, GPW juga mengadakan kelas jahitan dan sulaman bagi wanita yang berminat dalam bidang jahitan. Bengkel jahitan yang disertai 20 orang pelajar telah mengambil upah menjahit baju kurung dan sarung kusyen bagi menampung pendapatan harian mereka.
Wanita di Felda Palong Timur berusaha dalam memelihara sifat tolong-menolong antara mereka jika mempunyai masalah. Penglibatan wanita dalam aktiviti yang dianjurkan sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang serta merapatkan hubungan silaturahim bersama penduduk Felda di sini.
|