Salah seorang pekerja sedang tekun menyelesaikan tugasnya

Pembuatan Kepok

A
  "Setiap kepok dari jenis kayu berharga antara RM700 hingga RM2,000 terutama yang menggunakan kayu cengal."
   

ktiviti keusahawanan bukan merupakan kegiatan utama di sini. Jika boleh dikatakan berjaya, tentulah pembuatan “kepok” yang diusahakan oleh Azmi Mokhtar boleh dijadikan contoh terbaik. Kepok ialah sebuah seni bina berbentuk ukiran kerawang atau ayat-ayat suci yang digunakan untuk dijadikan penghadang atau tembok kubur. Selain mengusahakannya sebagai sebuah perusahaan sendiri, beliau juga memberi peluang pekerjaan kepada para belia terutama yang tamat tingkatan lima. Bersifat seperti latihan industri, seramai tujuh orang belia bekerja secara sambilan di samping beberapa orang pekerja tetap.

 
 
Sebahagian proses menghasilkan kepok

Terdapat empat jenis kepok yang dihasilkan iaitu trazo (campuran simen dan kapor), simen, kayu dan marmar. Kebiasaannya setiap kepok dari jenis kayu berharga antara RM700 hingga RM2,000 terutama yang menggunakan kayu cengal. Bagaimanapun, kepok yang dibuat dari simen dijual pada harga yang lebih murah.

Kepok dihasilkan menggunakan simen dan batu putih yang kecil. Aduanan kedua-kedua bahan itu tadi akan dituang ke dalam sebuah acuan mengikut bentuk dan saiz. Ia akan dikeringkan dan dilicinkan bagi mendapatkan rupa yang cantik. Seni ukiran pada setiap kepok bergantung kepada kehendak pembeli. Biasanya, ukiran kerawang atau ayat-ayat suci menjadi pilihan pembeli.

 
 
Ketelitian dan ketekunan perlu ada dalam menghasilkan kepok

Menurut Azmi, ilham untuk membuka perusahaan kepok timbul kerana beliau mendapati tidak ramai yang mahu mengusahakannya. Pada masa sama, permintaannya agak tinggi disebabkan kebanyakan umat Islam suka membersihkan dan mengindahkan kawasan kubur. Oleh itu, mulai 2005 dengan nama Buyong Sakti Enterprise, beliau bertekad memulakan perusahaan tersebut. Kini, hasil usahanya mendapat permintaan yang sangat baik meliputi tempahan di sekitar Johor, Melaka, Lembah Klang dan juga Perak

Memandangkan permintaan yang tinggi bagi tempahan kepok, Azmi berusaha untuk membesar dan mempelbagaikan produk pembuatannya. Beliau kini membekalkan simen fero, membuat landskap taman, membekal bahan-bahan binaan dan membina “air terjun” untuk halaman rumah. Atas dasar keprihatinan, pihak Felda sanggup menyediakan sebuah tapak dan bangunan untuk Azmi menjalankan perniagaannya.

Kini, berkat usahanya, perniagaan Azmi telah berkembang maju berbantukan peralatan dan mesin-mesin tertentu seperti mesin pengacau simen, mesin penekap dan juga pelicin. Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh hubungi Azmi bin Mokhtar di alamat No 252, Felda Kemelah 85040, Segamat, Johor Darul Takzim atau di talian 019-7480840.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK