Banjir besar telah menenggelamkan beberapa kampung di persisiran Sungai Pahang

Peristiwa Banjir Besar

K

ampung Bukit Nikmat telah dibuka untuk penempatan penduduk pada tahun 1971 iaitu selepas peristiwa banjir besar berlaku. Banjir besar tersebut yang telah menenggelamkan beberapa buah kampung menjadi mimpi ngeri kepada penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Pahang. Antara kampung yang turut ditenggelami banjir ialah Kampung Kurau dan juga Kampung Kelola. Demi menyelamatkan penduduk di kedua-dua buah kampung terbabit mereka telah dipindahkan ke sebuah kawasan bukit yang berhampiran. Di kala itu penduduk mengalami kesusahan disebabkan tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup dan juga pakaian kerana air yang naik mendadak hanya mengizinkan mereka menyelamatkan diri masing-masing dan keluarga sahaja.

Setelah berkampung di kawasan bukit itu segala kesusahan dan penderitaan yang dialami akibat banjir dikongsi sesama mereka. Namun, di sebaliknya mangsa banjir tersebut merasakan, bahawa sebenarnya banjir itu telah memberikan rahmat yang telah merapatkan perhubungan antara penduduk dua buah kampung yang terlibat. Dalam pada itu, rezeki pula melimpah ruah kerana akibat banjir, saban hari mereka mendapat rezeki seperti rusa, kijang, ayam hutan dan sebagainya.

“Kampung Bukit Nikmat telah dibuka untuk penempatan penduduk pada tahun 1971 iaitu selepas peristiwa banjir besar berlaku.”

 
   

Cerita lain yang turut dikaitkan dengan nama Bukit Nikmat juga tidak kurang menariknya. Kehidupan masyarakat Melayu yang sentiasa percaya kepada kewujudan alam ghaib dan juga makhluk bunian dikatakan mungkin suatu kebenaran dan bukan hanya dongengan semata-mata. Suatu ketika dahulu dikatakan orang-orang yang tinggal di Bukit Nikmat mempunyai hubungan yang sangat baik dengan masyarakat bunian. Sewaktu majlis kenduri-kendara, orang kampung akan datang meminjam peralatan pinggan mangkuk daripada orang-orang bunian yang tinggal di situ. Budaya ini telah menjadi satu amalan di kalangan penduduk kampung, namun keadaan ini tidak berkekalan dan akhirnya terputus. Ia disebabkan terdapat segelintir orang kampung yang meminjam barang-barang daripada orang bunian tetapi tidak memulangkan kembali di samping barang-barang yang dipinjam telah pecah atau rosak.

Sangkaan tentang cerita ini hanya dongeng disangkal oleh Ketua Kampung, Nasar Ibrahim. Menurut beliau, mungkin wujud kebenaran di sebalik cerita ini kerana ada individu dikatakan pernah melihat dunia orang bunian tersebut. Individu yang dimaksudkan ialah Allahyarham Abdul Wahab Khatib Gendut yang juga pernah menjadi Ketua Kampung.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK