Pahlawan Mat Kilau
emilih lokasi pelancongan di kawasan luar bandar merupakan suatu langkah bijak. Selain menyaksikan tempat menarik para pengunjung akan dapat menikmati keindahan alam semula jadi. Lokasi yang pasti memberi pengalaman serta pengetahuan berharga ialah Makam Mat Kilau yang terletak di Kampung Pulau Tawar mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dari Pekan Jerantut dan kurang 10 minit perjalanan dari Kampung Bukit Nikmat. Kemegahan dan juga kemasyhuran pahlawan Mat Kilau menentang penjajahan Inggeris suatu ketika dahulu telah bersemadi di sini. Keberanian menentang penjajah demi mempertahankan tanah air tercinta menjadikan beliau pahlawan terbilang.
 |
|
| Sudut dalam makam Pahlawan Mat Kilau |
|
|
Darah pahlawan yang mengalir dalam tubuh beliau diwarisi dari bapanya sendiri iaitu Tok Gajah yang juga merupakan tokoh besar dalam sejarah Negeri Pahang. Pada satu ketika, seluruh Negeri Pahang telah digemparkan dengan berita “kematian” beliau ketika melarikan diri dari buruan penjajah Inggeris. “Kemunculan” kembali beliau di Jerantut tidak lama kemudian telah memberikan kejutan kedua kepada masyarakat dan tidak kurang yang meragui kesahihan bahawa beliau adalah Mat Kilau. Demi membuktikan kesahihan identiti beliau, telah memaksa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan kesihatan dan pengesahan identiti. Menerusi ujian tersebut, pihak berkuasa mengesahkan beliau adalah Mat Kilau.
Menurut cerita masyarakat setempat dalam usia emasnya Mat Kilau masih berupaya menggegarkan sebatang pohon yang besar untuk membasahi badannya dengan air embun dari pohon tersebut. Kekuatan tenaga Mat Kilau juga telah menyebabkan pohon tersebut mati akhirnya. Selain sejarah kegemilangan Mat Kilau perjalanan boleh diteruskan lagi bagi menyaksikan pula Makam Tuan Puteri Darah Putih yang dikelilingi hutan hijau. Lebih tepat makam tersebut terletak di Kampung Bukit Ketupat.
| |
 |
| |
| Sedikit sebanyak catatan sejarah Mat Kilau |
|
Diceritakan Tuan Puteri Darah Putih ialah seorang puteri kerajaan Acheh dan untuk mengelirukan pihak musuh, suaminya telah membina sebuah “makam”. Kawasan makam ini juga pernah menjadi tempat kunjungan ramai pada sekitar 1970-an kerana kepercayaan-kepercayaan karut masih begitu kuat berakar umbi dalam cara hidup masyarakat setempat ketika itu. Lazimnya orang yang datang bertujuan untuk menunaikan nazar dan juga berniat di sini. Pelbagai cara dilakukan seperti mandi di atas makam, membaling duit syiling, melepaskan ayam putih dan pelbagai lagi.
Tidak jauh dari makam Tuan Puteri Darah Putih terdapat satu lagi kesan tinggalan sejarah iaitu sebuah kawah besar atau digelar sebagai “gerinsing” oleh penduduk setempat. Kawah tersebut adalah alat memasak tentera kerajaan Acheh ketika itu. Malangnya kawah tersebut telah tertimbus ketika banjir besar pada tahun 1971.
|