Tikar Mengkuang

T

ikar mengkuang yang menjadi alas duduk utama masyarakat Melayu suatu ketika dahulu kian dilupakan. Seni buatannya yang unik dan halus menuntut kesabaran dan ketekunan kepada pembuatnya. Di kalangan beberapa orang warga emas di kampung ini, menganyam tikar mengkuang sudah seperti menjadi darah daging dalam kehidupan mereka. Mula belajar menganyam tikar mengkuang sejak kecil menjadikan Yah Arshad yang berusia 76 tahun begitu mahir menghasilkan tikar mengkuang. Apa yang beliau hasilkan bukan hanya tikar mengkuang pelbagai saiz bahkan terdapat juga bakul-bakul dan beg yang tampak kemas dan cantik diwarnakan.

 
 
Usia bukan penghalang untuk melahirkan kreativiti

Menurut Yah, harga sesebuah hasil kerja tangan beliau bergantung kepada saiz dan jenis serta lazimnya dijual antara RM5.00 hingga RM15.00. Menurut Yah, kini tidak banyak tikar yang boleh dibuat disebabkan sukarnya memperoleh daun mengkuang. Demi untuk mengekalkan warisan dan kemahiran unik ini, Yah turut mengajar menantunya, Rohani Awang Sulaiman cara-cara membuat barangan kraf berasaskan daun mengkuang. Selain Yah, terdapat dua orang lagi warga emas yang turut mengusahakan perusahaan mengkuang sepertinya. Permintaan terhadap produk berasaskan daun mengkuang sebenarnya begitu tinggi namun disebabkan kekurangan bahan mentah tidak mengizinkan pengusahanya memenuhi permintaan pelanggan.

 
Tekun menghasilkan sarung golok
 

Pembuatan senjata tangan juga menjadi salah satu aktiviti keusahawanan di Kampung Bukit Nikmat. Kehalusan seni dan kesukaran pembuatannya menyebabkan tidak ramai yang berminat untuk menceburkan diri dalam perusahaan itu. Tetapi Sukur Abu Hasan, 35 tahun yang mempunyai minat mendalam dalam pembuatan parang, sarung dan juga hulunya. Menurut beliau, dengan menggunakan kaedah tradisional dan peralatan tangan serta modal sendiri, selalunya sebilah parang boleh di siapkan dalam tempoh tiga hari.

Harga parang buatan beliau adalah berbeza-beza mengikut jenis besi dan saiz. Contohnya harga sebilah pisau dari besi tahan karat sepanjang 25 sentimeter boleh mencapai harga sehingga RM70.00 sebilah. Kayu yang digunakan untuk membuat hulu parang boleh dicari sendiri di hutan ataupun boleh didapati di kilang papan. Beliau boleh menyiapkan 10-15 bilah pisau dan parang dalam masa sebulan yang boleh menghasilkan pendapatan dalam anggaran RM700.00 hingga RM800.00 sebulan. Tempahan juga dikatakan datang dari seluruh pelosok negeri namun disebabkan tidak mempunyai alatan yang lengkap beliau tidak dapat memenuhi banyak permintaan tersebut.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK