Batu sawar akan timbul di kawasan ini sekiranya air surut

“Sang Kelembai”

K

ampung Batu Sawar dipercayai telah wujud sejak tahun 1920-an lagi. Rata-rata penduduk asal Kampung Batu Sawar merupakan anak jati Negeri Pahang yang datang dari pelbagai kawasan seperti Jerantut, Kuala Krau dan Temerloh. Menurut cerita orang-orang tua di sini, terdapat sebuah batu yang berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Batu ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Sang Kelembai. Mengikut lagenda, apa sahaja yang disumpah atau ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.

"Mengikut lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu."  
   

Suatu ketika dahulu, Sang Kelembai dipercayai telah lalu di Sungai Pahang dan terlihat sebuah sawar yang ditahan di tengah sungai. Sang Kelembai yang merasakan sawar tersebut telah menghalang laluannya terus menyumpah sawar tersebut. Akibat daripada sumpahan Sang Kelembai, sawar itu telah bertukar menjadi batu. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung ini. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut.

Kisah sumpahan Sang Kelembai bukan satu kisah yang asing kepada masyarakat Negeri Pahang. Banyak kawasan kampung dikaitkan dengan kisah Sang Kelembai. Antaranya ialah Batu Papan, Gua Kota Gelanggi dan Batu Katak.

Kini, tiada lagi kisah Sang Kelembai dan sumpahannya. Namanya menjadi lagenda yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ratusan tahun telah berlalu dan kisah Sang Kelembai mulai dilupakan.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK