Para pelancong gemar menikmati alam semula jadi di sini

Gunung Senyum

T
  "Dari kejauhan, Gunung Senyum menyerupai bentuk seorang wanita yang sedang berbaring sambil tersenyum."
   

erdapat satu lokasi pelancongan menarik di Kampung Batu Sawar, iaitu Hutan Lipur Gunung Senyum yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan kampung. Pengunjung boleh melihat sendiri keindahan 18 buah gua batu kapur yang terdapat di dalam Gunung Senyum. Antara gua-gua yang terdapat di sini ialah Gua Angin, Gua Silat, Gua Kolam Tujuh dan Gua Makam Tok Long.

 
 
Hutan Lipur Gunung Senyum sentiasa menanti kedatangan pengunjung

Gua-gua ini sering menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan luar negara. Keunikan stalaktit dan stalagmit menjadi daya tarikan utama kepada para pengunjung yang mensyukuri keindahan alam ciptaan Tuhan. Gua-gua yang dianggarkan berusia lebih dari tiga ribu tahun masih lagi utuh sehingga ke hari ini.

Menurut cerita orang tua-tua di sini, jika diamati dengan teliti Gunung Senyum kelihatan seperti seorang wanita yang sedang berbaring sambil tersenyum. Bagaimanapun, mengikut maklumat di Pejabat Penerangan Gunung Senyum, ia mendapat nama sempena kisah Sultan Ahmad Shah yang pernah memerintah Negeri Pahang sekitar tahun 1800-an. Ketika itu, baginda sedang berakit di Sungai Pahang bersama pengiringnya dan terpesona dengan keindahan Gunung Senyum.

 
Jambatan gantung untuk pelancong menyeberangi tasik
 

Baginda bertanya kepada pengiring akan nama gunung tersebut, namun semua pengiring baginda hanya mendiamkan diri sambil tersenyum sesama sendiri. Sebagai memperingati kejadian itu, baginda lantas menamakan gunung tersebut dengan nama Gunung Senyum.

Gunung Senyum dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prasarana seperti chalet, gerai-gerai makan serta tapak perkhemahan. Gunung Senyum menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Pelajar universiti dari seluruh negara sering datang untuk menjalankan pelbagai aktiviti lasak seperti merentas denai, meneroka gua dan berkhemah. Gunung Senyum kini terletak di bawah penyelenggaraan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK