Mengikut dongeng orang Melayu, Sang Kelembai atau dikenali juga sebagai Sang Gedembai merupakan makhluk ghaib yang tinggal di dalam hutan jauh dari penempatan manusia. Sang Kelembai dikatakan memiliki ‘kuasa sakti’. Segala objek yang ditegur atau disumpah oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.

Sang Kelembai dipercayai telah lalu di Sungai Pahang dan terlihat sebuah sawar, iaitu sejenis alat tangkapan ikan di tengah sungai. Sang Kelembai yang merasakan sawar tersebut mengganggu laluannya terus menyumpah sawar tersebut. Akibatnya, sawar itu bertukar menjadi batu. Nama Kampung Batu Sawar diambil bersempena batu sawar ini. Pengunjung boleh datang dan melihat sendiri batu sawar ketika air sungai surut.


Kawasan Riadah Pendidikan

Sebuah padang bola sepak, dewan badminton dan gelanggang sepak takraw dibina khas untuk penduduk kampung yang gemar bersukan. Taman permainan kanak-kanak turut dibina untuk menggalakkan dan memudahkan anak-anak kecil melakukan aktiviti riadah bersama keluarga. Kawasan-kawasan riadah ini di diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran.

Sekolah Rendah Kebangsaan Batu Sawar (SRK Batu Sawar) merupakan satu-satunya sekolah rendah di kampung ini. Ia dibina pada tahun 1951 dan kini mempunyai bilangan seramai 90 orang murid. Biarpun bilangan pelajarnya agak kecil, namun prestasi akademik mereka amat membanggakan. SRK Batu Sawar pernah menerima anugerah kerana mencapai kelulusan tertinggi dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Daerah Temerloh.
 
 
Penafian | Laman Web KTAK