Persatuan Tingkat Modal Insan
awatankuasa Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota ditubuhkan antara lain sebagai sebuah jawatankuasa untuk merapatkan perpaduan antara kaum atau sesama penduduk. Melalui persatuan penduduk, maklumat–maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada para penduduk. Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota juga berperanan mengatur projek-projek kecil dan aktiviti-aktiviti yang memberikan faedah kepada penduduk Bandar Tun Razak seperti gotong-royong, sukan dan lain-lain.
Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota diselenggara oleh penyelia kawasan iaitu Amir Haji Ahmad. Pelbagai biro diwujudkan bagi memantapkan lagi organisasi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota. Antaranya Biro Agama, Biro Sukan dan Rekreasi, Biro Keselamatan, Biro Wanita dan Biro Kesenian dan Kebudayaan. Sejak sekian lama Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Bandar Tun Razak DBKL Sri Kota berperanan dan mencapai objektifnya untuk mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat di samping memajukan Bandar Tun Razak.
Sehingga kini program-program yang telah dikendalikan oleh Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota telah berjaya meningkatkan modal insan penduduk. Contohnya pertandingan sukan antara kampung sempena Hari Keluarga penduduk Bandar Tun Razak, gotong-royong ketika hari perayaan, menghadiri kursus-kursus dan latihan dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk sekitarnya. Untuk tempoh akan datang, Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota akan terus merancang dan melaksanakan aktiviti–aktiviti kemasyarakatan sesuai dengan dasar-dasar semasa kerajaan.
 |
| Amir Haji Ahmad, Penyelia Persatuan Penduduk Rumah Pangsa DBKL Sri Kota |
|
|