KEMAS Anjur Aktiviti Kaum Hawa

K

aum hawa di kampung ini pula lebih terdedah untuk melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan, aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan serta mengikuti kelas kemahiran seperti kelas jahitan dan memasak. Purata wanita yang terlibat di dalam aktiviti seperti ini agak ramai terutamanya terdiri daripada kaum ibu dan suri rumah. Melalui aktiviti seperti inilah mereka dapat berkumpul dan mengeratkan hubungan sesama wanita di kampung.

Wanita ini membantu menambah pendapatan keluarga dengan berniaga di warung makan ataupun di gerai-gerai kuih sekitar kampung. Perniagaan secara kecil-kecilan ini merupakan suatu usaha yang murni untuk mencari nafkah bagi menampung keluarga.

Di antara aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan yang disertai oleh kaum hawa di sini adalah seperti berzanji dan marhaban. Kesemua aktiviti yang dijalankan bergantung kepada majlis dan kesesuaian masa. Terdapat juga kelas Fardu Ain yang dianjurkan di surau kampung seminggu sekali. Kelas ini di bawah bimbingan seorang ustazah yang juga merupakan anak jati Kampung Bahagia Jiboi.

Kelas menjahit yang dibuka di bawah bimbingan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) merupakan antara aktiviti yang digemari oleh kaum wanita di sini. Pelbagai jenis jahitan baju kurung moden dan tradisional, blouse dan juga baju Melayu yang boleh dipelajari melalui kelas jahitan ini. Selain itu, kadar bayaran yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM15 untuk pendaftaran diikuti bayaran bulanan sebanyak RM10. Guru-guru yang mengajar juga cukup berpengalaman dan pastinya banyak ilmu dan kepakaran yang dapat dikongsi bersama.

Melalui KEMAS juga, kaum ibu di kampung ini turut diraikan sempena sambutan Hari Ibu. Aktiviti seperti ini pastinya dapat menarik minat ramai kaum wanita untuk bergiat lebih aktif dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK