Variasi Bahan Bacaan Untuk Semua

P

erpustakaan Desa Kampung Bahagia Jiboi ditubuhkan pada Jun 2006 di bawah projek Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9). Perpustakaan ini di bawah pentadbiran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan perpustakaan negeri. Di antara agenda utama penubuhan perpustakaan desa adalah untuk menyalurkan ilmu dan memberi maklumat. Ini dapat merapatkan jurang ilmu di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

 
 
Kakitangan yang peramah dan mesra

Perpustakaan ini menawarkan perkhidmatan seperti pinjaman buku, sumber rujukan, teknologi maklumat serta bahan bacaan seperti majalah dan surat khabar. Sehingga Mei 2008, terdapat lebih kurang 4,000 buah buku yang disediakan oleh pihak Perpustakaan Negara.

Kadar pengunjung yang datang ke sini juga amat menggalakkan. Pengunjungnya bukan sahaja terdiri daripada kalangan anak kampung tetapi merangkumi penduduk kampung sekitar. Sejak penubuhannya pada tahun 2006, perpustakaan ini mempunyai lebih kurang 440 orang ahli dengan purata pendaftaran ahli baru di antara 10-12 orang setiap bulan. Bayaran untuk menjadi ahli perpustakaan adalah sebanyak RM 1 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, RM 2 untuk remaja dan RM 3 untuk golongan dewasa. Setiap ahli akan diberikan kad keahlian untuk kemudahan peminjaman dua buah buku dalam jangka masa dua minggu dan melayari Internet.

 
Kemudahan variasi bahan bacaan
 

Perpustakaan ini boleh memuatkan seramai 30 hingga 40 orang dalam satu-satu masa. Selain penyediaan komputer untuk kemudahan melayari Internet, mesin pengimbas dan pencetak yang terdapat di sini juga menjadi tumpuan pelajar untuk menyiapkan folio dan projek sekolah. Setiap perkhidmatan dan keperluan di dalam perpustakaan ini akan dibantu oleh penolong pegawai perpustakaan, Norhadilah Mat Din dan pembantu perpustakaan, Nurul Huda Jamil.

Perpustakaan ini juga aktif dalam menganjurkan aktiviti untuk para ahlinya. Setiap bulan, dua aktiviti akan dirancang untuk menarik minat ahli menyertainya. Di antara aktiviti yang berjaya dianjurkan adalah pertandingan bercerita, teka silang kata, pertandingan mewarna dan pertandingan teka peribahasa. Peruntukan dana yang diperoleh daripada perpustakaan negara digunakan sebaik-baiknya untuk mereaslisaikan aktiviti-aktiviti tersebut. Sambutan yang menggalakkan daripada semua generasi muda merupakan suatu perkara positif demi kebaikan masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


 
 
Penafian | Laman Web KTAK