Perkhidmatan Lengkap Di Segenap Ruang Klinik

K

linik Kesihatan Ampangan merupakan klinik kesihatan kerajaan yang menjadi pilihan penduduk di sini. Selain jaraknya yang dekat, pelbagai khidmat dan rawatan ditawarkan di klinik ini. Sebagai contoh, terdapat rawatan Klinik Ibu dan Anak, perkhidmatan Sinar-X, Pesakit Luar, pergigian dan juga saringan ujian HIV. Terdapat doktor biasa dan doktor pakar memberikan rawatan kesihatan kepada pesakit sebelum mereka dirujuk ke Hospital Seremban sekiranya mengalami masalah kesihatan yang kronik.

Terdapat juga kemudahan seperti surau, tandas awam, ruang menunggu yang selesa, kaunter pendaftaran bernombor, farmasi dan ambulan. Segala kemudahan yang diberikan di sini pastinya memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dengan segera.

Di kampung ini masih terdapat penduduk yang mendapatkan rawatan secara tradisional. Beberapa penduduk di kalangan warga tua memilih untuk menjadi tukang urut tradisional sebagai salah satu perubatan alternatif. Di antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah rawatan urutan badan, dan urutan selepas bersalin. Bayaran bergantung kepada budi bicara pelanggan mengikut urutan yang diperlukan.

Bagi mereka yang memilih untuk mendapatkan rawatan lain, terdapat juga klinik swasta yang dibuka oleh anak tempatan di kawasan sekitarnya. Klinik-klinik ini mengenakan bayaran yang berpatutan dan dibuka 24 jam untuk kemudahan orang ramai.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK