‘Bagaikan Cendawan Tumbuh Selepas Hujan’. Keghairahan penduduk di sekitar kawasan Gombak melibatkan diri dalam bidang perniagaan amat ketara. Banyak gerai-gerai kecil dan kedai dibuka sepanjang jalan utama sekitar kawasan Gombak. Antaranya gerai jualan makanan seperti pisang goreng, keropok lekor dan makanan ringan. Restoran dan kedai runcit turut dibuka di kawasan ini.
Kewujudan pasar raya dan kompleks membeli-belah tidak mematahkan semangat usahawan kecil-kecilan ini, bahkan menjadi pendorong untuk mereka memasarkan hasil keluaran mereka. Walaupun terpaksa memulakan perniagaan seawal pukul 9.00 pagi dan kadang kala terpaksa memanjangkan perniagaan sehingga ke tengah malam, mereka tetap cekal demi mencari rezeki untuk keluarga.
|