Kakitangan perpustakaan sedia membantu

Perpustakaan Sebagai Medan Ilmu

M

ewujudkan masyarakat berilmu dalam bidang teknologi maklumat merupakan salah satu daripada misi dan visi perpustakaan desa bagi membantu masyarakat desa mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Usaha kerajaan telah mula menampakkan hasil apabila kebanyakan penduduk desa terutama pelajar-pelajar mula mendekatkan diri mereka dengan dunia teknologi tersebut. Perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Perpustakaan Desa Air Tawar digunakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar di situ. Ada kalanya pelajar-pelajar di kawasan sekitar juga menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

 
Koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Desa Air Tawar
 

Perpustakaan Desa Air Tawar yang mula beroperasi pada 12 Jun 1993 dirasmikan oleh Tan Sri Haji Abdul Rahim Tambi Chik. Beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Perpustakaan Desa Air Tawar diselia oleh Siti Afzani Arifin yang menyelaras perjalanan perpustakaan itu. Beliau sering menganjurkan aktiviti bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seperti pertandingan melukis, pertandingan membaca buku cerita dan lain-lain lagi. Pertandingan-pertandingan yang diadakan ini melibatkan hadiah-hadiah sumbangan dari JKKK dan perpustakaan desa itu sendiri. Ia bukan sahaja menggalakkan pelajar menjadi ahli perpustakaan malah dapat meningkatkan keyakinan mereka sebagai pelajar.

Dalam satu masa, Perpustakaan Desa Air Tawar boleh memuatkan 30 hingga 40 pengunjung. Bilangan ahli yang hampir 200 orang ini terdiri daripada pelbagai peringkat seperti kanak-kanak, belia dan golongan dewasa. Anggaran purata pengunjung ke situ pula ialah 30 orang. Perpustakaan Desa Air Tawar yang merupakan perpustakaan paling hampir bagi penduduk-penduduk sekitar seperti Kampung Batu Gajah, Kampung Sebatu dan lain-lain harus disediakan lebih banyak kemudahan agar mencapai objektif perpustakaan desa iaitu memberikan perkhidmatan yang dapat merapatkan jurang digital.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK